BENARKAH RAKYAT MAHU TMJ TERAJUI FAM?

 

“Saya melakukannya (bertanding) kerana rakyat sendiri yang mahukan saya datang,” titah Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Persoalannya apakah benar majoriti rakyat Malaysia mahukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terus diterajui istana?

Malah, jika diperhatikan pada media sosial pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), milik TMJ ‘dibenci’ oleh majoriti peminat bola sepak di negara ini.

Tindakan TMJ yang suka ‘beperang’ dengan netizen juga agak kurang disenangi oleh penyokong bola sepak Malaysia.

Bukan sekali insiden membabitkan penyokong JDT tercetus, apa yang berlaku di Stadium Bandaraya Ipoh, Perak, tahun lalu seorang jurugambar turut diserang dan dirampas kamera miliknya.

Pada awal musim ini, bas yang membawa pasukan FELDA disimbah cat pada aksi di Stadium Larkin, Johor.

Baginda bertitah, rakyat mahukannya menjadi Presiden FAM bagi memperbaiki bola sepak Malaysia.

Titah baginda lagi, ayahandanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga mahu baginda menerima amanah itu bagi melakukan perubahan.

“Apa sahaja yang saya lakukan, saya melakukannya untuk rakyat. Ia bukan untuk diri saya, sebagaimana semua tahu bahawa bola sepak bukanlah periuk nasi saya.

“Inilah satu-satunya sebab mengapa saya ingin melakukannya,” titah baginda dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sememangnya tidak dinafikan peminat bola sepak mahukan pembaharuan, namun bukan oleh pihak istana yang sering merosakkan suasana dan kemeriahan bola sepak negara.

Rakyat mahukan FAM dipimpin oleh individu yang merasai keinginan peminat bola sepak dan bukannya oleh individu yang angkuh.

Sememangnya strategi TMJ menggunakan ‘wahyu’ istana untuk bertanding sudah dijangka kerana baginda sebelum ini ketika mengkritik kepemimpinan FAM berkali-kali bertegas tidak berminat dengan jawatan dalam FAM.

Sehingga kini Tunku Ismail dan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa adalah dua calon bagi mengisi jawatan Presiden FAM.

Nampakanya pada pemilihan kali ini Annuar bukan saja bertembung dengan individu berkuasa di atas padang yang tidak rata, malah tidak mempunyai senjata ampuh untuk berperang.

Khabar angin bertiup kencang mengatakan ada habuan istimewa buat ahli gabungan yang memenangkan wakil istana pada pemilihan Mac ini.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.