AADK KELANTAN MASIH KESAN WANITA ABAI ANAK

 

Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan masih mengesan seorang wanita yang menghilangkan diri selepas kisahnya mengabaikan lima anak serta tinggal dalam rumah yang dipenuhi sampah di Kampung Paloh, Pintu Geng, Kota Bharu didedahkan media baru-baru ini.

Pengarahnya, Rahayu Ahmad berkata, pihaknya masih mengesan wanita itu sejak semalam namun dia masih tidak pulang ke rumahnya.

“Kita menasihatkan wanita itu supaya tampil di mana-mana pejabat AADK bagi membolehkan pihak kami membantu dia menjalani pemulihan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai wanita ini juga boleh berhubung dengan pihak kami,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan lima anak wanita itu yang berusia sembilan bulan serta 6, 9, 11 dan 13 tahun bukan sahaja tidak terurus dan berpakaian lengkap, malah tidak bersekolah selain tinggal dalam timbunan sampah kerana diabaikan ibu mereka.

Ibu mereka yang berusia 34 tahun pula dikatakan menghilangkan diri selepas selesai menjalani ujian saringan air kencing kerana disyaki terlibat dengan penagihan dadah.

Dalam pada itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri meminta wanita tersebut tampil memberi keterangan bagi memudahkan jabatan tersebut melakukan tindakan susulan.

Pengarah JKM negeri, Said Sidup berkata, pihaknya tidak mempunyai maklumat tepat berkenaan lima beradik berkenaan kerana mereka didapati tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri termasuk siapa bapa kandung mereka.

“Setakat ini kita akan tempatkan lima beradik ini di Rumah Kebajikan dan Perlindungan kanak-kanak JKM di Pengkalan Chepa.

“Jika ada waris terdekat tampil dan berkelayakan serta sudi menjaga mereka, kita akan serahkan hak penjagaan sementara kepada waris terbabit. Jika tidak mereka akan terus ditempatkan di rumah perlindungan dahulu,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.