ADAM ROSLY BERDEPAN 6 PERTUDUHAN

 

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas enam tuduhan memberi keterangan dan dokumen palsu bagi memperdayakan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Adam dibawa dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) hitam ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada jam 8.50 pagi melalui pintu tepi kompleks mahkamah.

Pada 9.25 pagi, dia yang diiringi pegawai SPRM dibawa masuk ke bilik Mahkamah Sesyen 14 untuk pendakwaan.

Beliau turut diiringi anggota keluarga termasuk isterinya.

Adam berdepan enam tuduhan mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Seksyen 32 (8) (c) adalah berkenaan kesalahan memberi keterangan dan dokumen palsu ketika proses siasatan dijalankan manakala Seksyen 89 adalah berhubung memalsukan sesuatu dokumen.

Kedua-dua kesalahan membawa denda sehingga RM3 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Adam ditahan SPRM ketika hadir memberi keterangan berhubung siasatan membabitkannya pada 13 April lalu.

Dia direman sejak tarikh itu bagi membantu siasatan kes.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.