AFC : HANYA JDT WAKIL MALAYSIA

 

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) wakil tunggal negara beraksi dalam Piala AFC 2018.

Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, ia kerana Pahang selaku Naib Juara Liga Super 2017 secara rasmi tidak akan mewakili Malaysia untuk pertandingan itu.

Bagaimanapun, katanya, jika JDT melangkah ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2018, slot Piala AFC 2018 berkenaan akan diberikan kepada pasukan Selangor yang kini diletakkan dalam senarai menunggu.

“Ini kerana sehingga tarikh tutup yang ditetapkan iaitu pada 30 November 2017, FAM tidak menerima surat balasan atau sebarang maklum balas daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk menyertainya.

“Mengikut peraturan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), kekosongan slot ditinggalkan Pahang itu tidak boleh diisi oleh mana-mana pasukan lain,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.

Hamidin berkata, majlis undian Liga Juara-Juara AFC 2018 dan Piala AFC 2018 akan berlangsung di AFC House, Bukit Jalil pada 6 Disember 2017,” katanya.

PBNP baru-baru ini mengumumkan menolak tawaran untuk beraksi dalam Piala AFC musim depan selepas Kedah gagal melepasi syarat pelesenan yang ditetapkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Keputusan itu dibuat PBNP kerana mahu memastikan Pahang memberi tumpuan penuh terhadap saingan Liga Malaysia 2018.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.