AGAMAWAN PERLU TAMPIL JELASKAN RUU355

 

Golongan agamawan termasuk guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta Imam perlu memberi penerangan tepat kepada masyarakat mengenai penangguhan perbahasan Rang Undang-undang Persendirian Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU355.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, penerangan itu bukan sahaja bagi mengelak kekeliruan malah agar ia tidak dipolitikkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang kemudiannya hanya merugikan ummah.

“Orang Islam kena bangun berjuang bersama-sama…jika ada sedikit perbezaan yang kecil kita perlu bijak menanganinya dan tuan-tuan yang digelar murabbi ummah inilah, yang duduk di barisan hadapan perlu mendepani masyarakat untuk memahaminya.

“Tidak usahlah bertanya lagi kenapa RUU355 ini dibentang Ahli Parlimen Marang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) dan bukan kerajaan…tak usah tanyalah…tak usah guna bahasa kesat sesama kita…orang Islam kena memahami bersama-sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di program Multaqa Murabbi Ummah negeri Terengganu 2017 di KUALA TERENGGANU pada Selasa.

Pada 6 April lalu, sesi perbahasan RUU 355 ditangguh ke sidang Dewan Rakyat akan datang setelah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memutuskan demikian menggunakan kuasanya sebagai Speaker yang tidak tertakluk kepada Peraturan 15 Dewan Rakyat.

“Tak mungkin RUU355 boleh dibaca pada Khamis itu kalau urusan rang undang-undang kerajaan tidak selesai. Rang undang-undang kerajaan dihabiskan pada pagi itu, pada pukul 4.57 pagi..Yang Berhormat menunggu di dalam dewan sebab dalam peraturan Parlimen rang undang-undang ini kena habiskan dulu.

Selagi tidak habis dalam peraturan tidak boleh dibentangkan rang undang-undang persendirian dan waktu itu telah pukul 4.57 pagi (Khamis). Kita jangan cepat menentang tetapi kena cepat memahami, mari kita betulkan bersama dan bertanggungjawab,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau juga berkata, guru KAFA, Imam, bilal dan guru takmir di Terengganu menikmati kenaikan elaun sehingga RM100, membabitkan kos keseluruhan lebih RM50 juta malah turut memperoleh durian runtuh ialah bilal yang diberi bonus RM500, membabitkan kos berjumlah RM508,500.

Katanya, keprihatinan kerajaan dalam membantu agamawan adalah satu usaha menghargai peranan dan usaha mereka yang terlibat sama ada di peringkat tinggi mahupun bawah.

 

Sumber Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.