AHLI PARLIMEN BN SERAH SUMBANGAN ROHINGYA

 

Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) telah menyerahkan sumbangan tunai kepada mangsa pelarian Rohingya melalui NGO-NGO yang mengendalikan bantuan di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh.

Turut memberi sumbangan ahli parlimen PAS dan PKR yang menyertai rombongan ke kem tersebut.

Sumbangan disampaikan oleh Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee kepada dua NGO utama iaitu Mercy Malaysia dan MAPIM.

Menurut Ronald, kehadiran ahli-ahli parlimen Malaysia ke kem tersebut adalah hasil keputusan kabinet untuk Parlimen Malaysia menghantar rombongan melihat sendiri apa yang berlaku di Kem Kutupalong serta kem-kem yang lain.

Menurutnya, isu ini juga merupakan antara isu terpenting yang sering kali dibahas ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, maka kali ini diberi peluang untuk melihat sendiri kesengsaraan yang dihadapi mereka.

“Ia jadi kelebihan tanpa batasan parti kerajaan atau pembangkang, kita sama-sama menyokong usaha yang dibuat kerajaan untuk memastikan isu Rohingya sampai ke peringkat antarabangsa dan kita hayati isu ini supaya sumbangan dapat diberikan dengan lebih banyak.

“Tujuan kita adalah supaya mereka yang terkeluar daripada negara mereka ini dapat dikembalikan ke tempat asal mereka,” katanya ketika berucap semasa taklimat dan majis penyerahan sumbangan di Cox’s Bazar, Bangladesh, pada Jumaat.

Seramai 12 ahli parlimen yang turut serta menyertai delegasi rombongan ke kem pelarian tersebut termasuklah ahli parlimen daripada BN, PKR, PAS dan PAN.

Ia diketuai Ronald sendiri dan turut disertai Datuk Abdul Aziz Kaprawi iaitu Timbalan Menteri Pengangkutan.

Antara 12 ahli parlimen yang turut serta adalah ahli parlimen Kota Tinggi Datuk Noor Ehsanuddin Harun Narrashid, ahli parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, Ahli parlimen Tenom Datuk Raime Ungi dan ahli parlimen PKR Fuziah Salleh dan ahli parlimen PAS Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusoff.

Jelas Ronald lagi, bantuan dari segi makanan sejumlah 25 tan kini sedang dalam proses penghantaran oleh pihak Malindo Air dan akan disalurkan terus melalui NGO berkenaan.

Kata Ronald, meskipun kini sedang dalam usaha untuk meluluskan Bajet 2018, Parlimen Malaysia tetap mencari kesempatan untuk turut serta menghulurkan bantuan dan mendengar rintihan rakyat di sana walaupun dalam masa yang singkat.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.