AHLI PARLIMEN KURANG SENANG TINDAKAN ASTRO

 

Beberapa Ahli Parlimen melahirkan kekecewaan susulan tiada jalan penyelesaian diambil kerajaan bagi menangani isu berkaitan stesen televisyen berbayar Astro sehingga kini.

Masalah kualiti perkhidmatan, siaran terganggu kerana hujan dan pelanggan rasa teraniaya melanggan Astro telah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pendang Datuk Othman Abdul di Dewan Rakyat pada Isnin.

Katanya, perkara ini telah ditegur berulang-ulang kali sebelum ini di Dewan Rakyat, tetapi pengguna masih lagi menghadapi masalah yang sama ditambah jumlah siaran iklan yang semakin hari semakin berlambak di stesen televisyen berbayar tersebut.

“Astro sudah banyak iklan walaupun ia sebuah stesen televisyen berbayar. Gangguan siaran terputus ketika hujan masih berlaku dan siaran filem yang sama sering diulang tayang berbulan-bulan di Astro,” katanya ketika perbahasan Bajet 2018 untuk Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

Justeru itu beliau berharap kerajaan menerusi KKMM dapat memandang serius perkara berkenaan demi menjaga kepentingan pelanggan supaya tidak rasa teraniaya dengan setiap nilai yang dibayar kepada Astro setiap bulan.

Sementara itu Ahli Parlimen Lipis Datuk Abdul Rahman Mohamad melahirkan rasa tidak berpuas hati dengan kadar bayaran yang dikenakan Astro yang semakin mahal ketika ini.

Katanya, walaupun Astro mempunyai pelbagai saluran siaran, tetapi pelanggan tidak boleh menikmati siaran tertentu walaupun sudah melanggannya setiap bulan.

“Ada saluran tertentu pelanggan terpaksa dibayar jika mahu menonton saluran tersebut contohnya jika ia melibatkan live seperti golf.

“Saya berharap Astro dapat memperluaskan saluran siarannya untuk pelanggan. Memang ada banyak saluran tapi bayarannya sangat mahal.

“Sistem yang digunakan astro masih ditakuk lama apabila hujan siaran terganggu dan pelanggan tidak dapat melihat siaran yang mereka gemari ketika itu,” katanya.

Abdul Rahman juga berharap isu yang lama membelengu Astro itu dapat diselesaikan oleh pihak kerajaan kerana telah menjadi perhatian dan rungutan orang ramai.

“Perkara ini telah lama dibangkitkan sama ada di pihak pembangkang mahu pun di pihak BN, mengapa kerajaan menerusi KKMM masih gagal menangani permasalahan yang melibatkan Astro.

“Saya harap KKMM dapat menanganinya dengan segera selepas ini,” ujarnya.

Sementara itu Ahli Parlimen Sekijang Anuar Abd Manap membangkitkan sejauh mana sistem penyiaran televisyen digital berkemampuan tinggi atau MyTv telah berjaya digunakan masyarakat terutamanya di luar bandar.

“Adakah terdapat halangan atau masalah terutamanya pengedaran dekoder percuma berlaku kepada masyarakat luar bandar.

“Sejauh mana siaran MyTv ini dapat memenuhi citarasa dan keperluan pengguna walaupun ia tidaklah setanding dengan apa yang ada di stesen penyiaran swasta?

“Saya berharap MyTV dapat digunakan dan diperluaskan bagi membantu rakyat yang tidak mampu melanggan siaran televisyen swasta dapat menonton televisyen,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.