AHLI POLITIK JADI DUTA DIHENTIKAN – SAIFUDDIN

 

Kerajaan akan menghentikan budaya pentadbiran terdahulu yang melantik ahli politik bagi mengisi jawatan duta, kata Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, jawatan duta sepatutnya diisi pegawai kerajaan yang benar-benar layak, sebelum membenarkan mereka bertugas ke luar negara.

“Pelantikan duta mesti dalam kalangan diplomatik yang terlatih dan mampu menjalankan tugas dengan baik kerana mereka merupakan imej negara” katanya ketika ditemui pemberita di Shah Alam, pada Isnin.

Saifuddin berkata, kerajaan akan mengetatkan proses lantikan duta baharu serta perlu melalui beberapa proses yang ditetapkan

“Wisma Putra ada kaedah tertentu untuk pelantikan duta baharu. Jadi, pegawai kerajaan yang berminat serta cukup syarat yang ditetapkan boleh memohon,” katanya.

Dalam pada itu, mengenai isu beberapa duta lantikan politik yang enggan melepaskan jawatan, beliau berkata perkara tersebut telah selesai.

“Saya dimaklumkan seorang daripada duta sudah pulang dan seorang lagi  duta juga mengesahkan akan berbuat demikian,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa antara duta lantikan politik ialah Zahrain; Duta Besar Malaysia ke Holy See, Tan Sri Bernard Dompok; dan Duta Besar Malaysia ke Finland, Datin Seri Blanche Olbery.

 

Wartawan Watan Online

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.