AKTA 355 TIDAK DIBAHASKAN, DEWAN RAKYAT TUTUP KEDAI

 

Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau Akta 355 tidak akan dibahaskan di Dewan Rakyat, walaupun usul itu dijadualkan dalam aturan urusan mesyuarat hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said hanya mencadangkan untuk membahaskan usul dibawa Menteri Kewangan.

“Mohon mencadangkan bahawa mesyuarat hari ini tidak akan ditangguhkan selepas selesai usul pertama dari Menteri Kewangan, selepas itu mesyuarat akan ditangguhkan hingga ke tarikh yang tidak ditetapkan,” kata Azalina.

Tindakan itu menyebabkan Ahli Parlimen PAS Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan bangkit dan meminta penjelasan dari Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Menurut Takiyuddin, ia seolah-olah wakil rakyat Marang, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membawa usul itu, tidak melaksanakan tugasnya.

“Di luar sana heboh kata Marang tidak benarkan usul ini dibahaskan, sedangkan ia bukan bidang kuasa Marang tetapi budi bicara Speaker sendiri.

“Jadi adakah usul yang separuh didengar, dibentangkan dalam dewan mulia akan dibahaskan sekali lagi pada sesi Parlimen ke-14 akan datang,” kata Takiyuddin.

Pandikar bagaimanapun berkata, beliau tidak dapat memberikan keputusan memandangkan tidak mengetahui kedudukannya dan jika keputusan dibuat ia sudah tidak relevan pada sesi akan datang.

“Saya terikat dengan Peraturan Mesyuarat 15 (1) iaitu utamakan urusan kerajaan dan masih terikat dengan 12(1) iaitu kerajaan sendiri tentukan apabila urusan kerajaan selesai, kerajaan punya hak tentukan.

“Usul yang sebelum ini dibentangkan di Dewan Rakyat dulu juga adalah kehendak dari kerajaan dan saya tidak mengawal urusan.

“Dalam hal ini bagi saya RUU 355 telah dibentang, disokong dan tinggal dibahas. Marang sudah buat tanggungjawab beliau sebaik mungkin mengikut prosedur ditetapkan,” kata Pandikar.

Cadangan pindaan RUU 355 untuk hukuman lebih berat dikenakan ke atas pelaku kesalahan syariah yang disifatkan hukuman yang sedia ada tidak relevan dewasa ini.

Hukuman maksimum terhadap pesalah syariah dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan 100 sebatan rotan, daripada 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan rotan.

 

oleh: NAJAMUDDIN MOHD NOR

Leave a Reply

Your email address will not be published.