AL-FATIHAH…NAPSIAH OMAR SUDAH TIADA

 

Veteran UMNO, Tan Sri Napsiah Omar meninggal dunia hari ini di Ampang akibat sakit barah hati pada usia 74 tahun.

Ahli keluarga Allahyarhamah, Datuk Hamid Yahya mengesahkanya dalam satu mesej ringkas.

“Assalamualaikum, dengan rasa sedih dimaklumkan bahawa Tan Sri Napsiah Omar kembali ke rahmatullah pada jam 6.10 petang tadi.

“Jenazah akan dibawa ke surau Tunku Muhriz, Kampung Jawa, Kuala Pilah dan akan dikebumikan sebelum solat zohor esok,” katanya petang Isnin.

Napsiah mula menjadi Ahli Parlimen Kuala Pilah pada tahun 1982 dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Dalam Wanita UMNO, beliau pernah memegang jawatan Naib Ketua dan Pengerusi tetap.

Pada tahun lalu sempena sambutan parti keramat ke-71, Napsiah dianugerahkan tokoh terbilang Melayu.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan rasa dukacita atas pemergian Napsiah.

“Allahyarhamah merupakan seorang srikandi tulen yang amat berpengalaman, pemergian beliau kini meninggalkan satu ruang yang sukar diisi.

“Legasi perpaduan yang beliau wariskan menjadi ikatan kekuatan kepada 1.4 juta ahli wanita UMNO,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.