AMANAH TEKAD GEMPUR KERUSI PAS

 

Amanah mendakwa parti itu mewarisi semua kerusi kubu PAS dan bertegas akan mengambil alih serta bertanding dalam Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Pilihan Rayanya, Dr Hatta Ramli berkata, keputusan itu hanya akan diumumkan secara rasmi oleh Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah, minggu depan.

“Semua kerusi yang Amanah bertanding adalah kerusi yang dahulu PAS bertanding. Ertinya kita tidak ambil kerusi milik DAP ke PKR.

“Bila ada Bersatu, sebagai pihak yang bertanggungjawab sesetengah daripada kita perlu berkongsi, majoriti daripada kami dari PAS, jadi kita anggap kita lah mewarisi kerusi tersebut. PAS itu PAS lah, dia punya hal lah,” katanya pada sidang media pada Rabu.

Terdahulu timbul dakwaan bahawa 27 kerusi yang akan ditandingi Amanah adalah kubu kuat PAS selain menganggap partinya mewarisi kerusi tradisi milik parti Islam itu.

“Kami berada di sini untuk menentukan siapa yang akan menjadi yang terbaik untuk membawa negara ke hadapan. Bukan untuk tujuan sentimental sahaja.

“Sejarah memang penting kita kena lihat semula tetapi yang akan tentukan kita bagaimana kita pandang ke hadapan.

“Biarlah PAS dengan kerusi dia. Dia nak bertanding pun memeriahkan. Inilah demokrasi,” katanya.

Pada Konvensyen Pakatan Ahad lalu, diumumkan Bersatu akan bertanding di 52 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia, manakala PKR bertanding di 51 kerusi dan Amanah di 27 kerusi.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.