‘AMBO NAK KERAJAAN KELANTAN’ – HUSAM MUSA

 

Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa meletakkan syarat untuk memiliki kerajaan Kelantan biarpun kalah dalam pemilikan banggunan Wisma Tok Guru yang menjadi perebutan antara PAS dan Amanah Kelantan.

Husam yang juga Adun Salor menegaskan tidak akan berganjak dari bangunan Wisma Tok Guru, walaupun tempoh untuk beliau mengosongkan bangunan tersebut telah tamat, dua hari lalu.

“Kalau kita kalah untuk dapatkan bangunan ini, tapi kita dapat hati rakyat, tidak mengapa, ambil lah, tapi syaratnya ambo nok kerajaan Kelantan,” katanya ketika ketika menyampaikan ucapan selepas mengadakan solat Isyak dan hajat berjemaah di wisma tersebut pada Selasa malam.

Husam juga memberitahu akan memfailkan saman semula dan perbicaraan akan bermula pada 15 November untuk mengisytiharkan bangunan ini miliknya, manakala perbicaraan sebenarnya adalah pada 4 Disember.

“Kalau mahkamah sudah putuskan nanti, saya akan terima. Buat masa sekarang ini, saya dan anak-anak buah saya (Amanah) akan jaga bangunan ini sehingga keputusan mahkamah 15 November ini (hari ini),” katanya.

Husam berkata, beliau sudah berpesan kepada semua ahli Amanah negeri supaya terus kekal di bangunan tersebut tanpa membuat sebarang kekecohan, menimbulkan pergaduhan sehingga keputusan mahkamah diperoleh nanti.

Dalam masa yang sama, Husam turut mempersoalkan tanggungjawab Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sebagai Adun Pasir Pekan apabila ada di antara rakyat di Dun tersebut berdepan kesusahan yang tidak dibela.

“Saya dimaklumkan mengenai perkara itu dan saya tengok sendiri kesusahan yang dialami keluarga tersebut. Insya-ALLAH kita akan bantu sekadar yang mampu, biarlah PAS sibuk mahukan bangunan ini, tapi kita sibuk bantu rakyat,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.