ANWAR BELUM PASTI BEBAS 8 JUN

 

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim belum pasti akan dibebaskan pada 8 Jun ini seperti yang diuar-uarkan oleh pembangkang sebelum ini.

Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, hukuman dan tarikh pembebasan boleh berubah jika banduan itu melakukan kesalahan tatatertib penjara.

“(Ini akan) menyebabkan tindakan pelucuthakan remitan di bawah Peraturan-Peraturan Penjara 2000,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga adalah timbalan perdana menteri menjawab soalan Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Setar) yang meminta pengesahan bahawa Anwar akan dibebaskan berdasarkan remitan satu pertiga hukumannya, iaitu pada 8 Jun ini.

Menurut beliau, pengiraan tempoh hukuman, remitan dan tarikh pembebasan seseorang banduan, termasuk anwar dibuat oleh Jabatan Penjara mengikut ketetapan Akta Penjara 1995 serta Peraturan-Peraturan Penjara 2000.

Akta dan Peraturan Penjara memperuntukan sepertiga remitan daripada hukuman kepada mana-mana banduan yang menjalani hukuman melebihi satu bulan.

“Sekiranya pembebasan banduan jatuh pada hari kelepasan mingguan atau hari kelepasan am, banduan tersebut hendaklah dibebaskan pada hari sebelumnya.

“Oleh itu bagi pengiraan hukuman dan remitan seperti mana ketetapan Akta serta Peraturan Penjara, tarikh pembebasan Anwar adalah pada 10 Jun (Ahad) tetapi hari sebelumnya adalah hari Sabtu, maka Anwar boleh dibebaskan pada 8 Jun (Jumaat),” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.