ANWAR PERLU SIASAT PENYELEWENGAN TUN M

 

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baharu saja dibebaskan didesak supaya mengotakan janjinya untuk menyiasat amalan ‘crony capitalism’ di zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini selama 22 tahun.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata begitu juga dengan kekayaan anak Perdana Menteri ketujuh yang sering dipertikai Anwar sebelum ini juga wajar disiasat.

“Setelah bebas, Anwar bertegas tidak mahu menyertai Kabinet Kerajaan Tun Mahathir. Apakah itu bermakna Anwar mahu mengelak terbabit dengan lebih banyak lagi tindakan-tindakan kontroversi oleh Perdana Menteri.

“Semoga Anwar mengotakan janjinya iaitu, untuk menyiasat amalan ‘crony capitalism’ di zaman pemerintahan Mahathir selama 22 tahun. Kini dia telah bebas dan partinya adalah parti pemerintah maka sewajarnya dia mendesak disiasat kekayaan anak Perdana Menteri yang sering dipersoalkannya. Anwar, ‘walk the talk’,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Mohd Puad berkata apakah Malaysia sudah kembali kepada pemerintahan autokratik apabila Perdana Menteri yang bertindakan solo telah mengubah beberapa keputusan dalam tempoh yang singkat.

Ini termasuk mengarahkan Peguam Negara bercuti, memendekkan tempoh perkhidmatan Ketua Setiausaha Perbandaharaan, membatalkan keputusan ROS yang tidak meluluskan penubuhan Pakatan Harapan (PH) dan meluluskan semula pendaftaran parti PPBM yang sebelum ini diharamkan buat sementara waktu.

“Apakah itu juga bermakna negara akan kembali kepada pemerintahan autokratik seperti sebelumnya. Jangan hairan selepas ini parti UMNO pula akan diharamkan dengan alasan teknikal seperti yang dijangkakan.

“Sebab itu serbuan ke atas rumah bekas Perdana Menteri di waktu dan kaedah yang tidak sesuai dilihat sebagai tindakan keterlaluan dan bertujuan untuk mengaibkan semata-mata. Tindakan itu memberi gambaran pentadbiran hari ini adalah keras dan berdendam.

“Tindakan mengekalkan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan juga bakal memberikan signal yang pelbagai. Antaranya apakah soal intergriti diketepikan? Dan apakah amalan crony capitalism yang ditentang oleh Anwar akan terbiar begitu sahaja,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.