ANWAR TOLAK JAWATAN PM

 

Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat satu keputusan mengejut apabila menyatakan hasrat menolak jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Sebaliknya Anwar berkata, apa yang penting bagi beliau memenangkan calon PH pada PRU-14, manakala isu lain termasuk perebutan kuasa, kedudukan dan keterlanjuran kata kurang sopan dalam kalangan pimpinan tidak sepatutnya dibenarkan.

“Saya memilih untuk tidak menawarkan diri selaku calon Perdana Menteri.

“Pergeseran sedemikian melelahkan kerana keputusan adalah di tangan rakyat dalam PRU. Adalah diharapkan supaya segala tenaga dan ikhtiar kita tertumpu kepada pengukuhan jentera dan menarik dukungan rakyat,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Pembangkang dilihat terus bertelagah dalam isu siapa layak menjadi Perdana Menteri Ke-7. Awal bulan lalu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan kembali memegang jawatan Perdana Menteri ketika PKR yang mendapat sokongan DAP mahukan Anwar menduduki jawatan berkenaan.

Sementara itu, Anwar berkata, PH perlu mengekalkan tradisi musyawarah dan konsensus seperti mana pengalaman pakatan pembangkang sebelum ini.

Beliau berkata, semua ketua parti mempunyai kedudukan yang sama, dengan pengerusi hanya sebagai penyelaras, manakala segala persiapan dan agenda mesyuarat dikendali oleh sekretariat bersama mewakili semua parti.

“Adapun usul PPBM untuk merombak struktur PH dengan pimpinan utama parti berkenaan menguasai jawatan Pengerusi dan Presiden dalam struktur baru PH dikhuatiri akan merombak kerangka PH menjadikannya mirip BN.

“Maka kesediaan semua pihak dalam PH untuk meneliti semula dan meminda cadangan berkenaan dengan mengekalkan muafakat asal PH adalah dialu-alukan,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.