ARAB SAUDI BINA BANDAR HIBURAN AWAM

 

Ketika China rancang sebuah bandar baharu bagi menggantikan ibu kota Beijing yang sesak trafik dan teruk tercemar udara lebih luas daripada New York, lain pun halnya di Arab Saudi.

Kerajaan negara terbesar rantau Asia Barat itu dilaporkan bakal mewujudkan sebuah bandar hiburan awam khusus di selatan ibu kota Riyadh yang dianggarkan lebih besar daripada Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia sendiri.

Dengan kawasan seluas 334 kilometer persegi itu (berbanding Kuala Lumpur hanya 243 kilometer persegi), ia akan menawarkan pelbagai kegiatan riadah keluarga sekali gus tarikan libur percutian baharu warga Riyadh sendiri.

Stesen penyiaran antarabangsa BBC melaporkan, bandar hiburan patuh syariah itu bukan sekadar taman tema biasa malah meliputi aspek kebudayaan dan sukan selain rekreasi dengan wahana permainan hingga taman safari.

Pembangunan kota hiburan khas yang diuar-uarkan sebagai pertama di dunia itu bermula awal tahun depan. Tahap pertama projek mega ini yang enggan didedahkan kos sebenarnya tersebut bakal siap pada tahun 2022 kelak.

Projek ini merupakan antara pelan besar pembangunan ‘Wawasan 2030’ sebagaimana diumumkan Putera Mahkota Mohammad Bin Salman al-Saud setahun lalu bagi mempelbagaikan ekonomi tanpa bergantung industri minyak.

Bandar hiburan itu adalah sebahagian daripada pelbagai projek prasarana lainnya dalam wawasan ekonomi jangka panjang tersebut dengan melibatkan pembinaan enam buah taman tema dan sebuah kawasan safari hidupan liar.

Sebuah firma dari Amerika Syarikat, Six Flags dilaporkan sudah berunding dengan kerajaan Arab Saudi sejak Jun tahun lalu untuk membina tiga taman tema yang setiap sebuah bernilai 1.8 bilion riyal (kira-kira RM2.2 bilion).

Ketika ini, taman tema terbesar di rantau Timur Tengah dipegang oleh Dubai Parks and Resorts di Emiriah Arab Bersatu yang dibuka tahun lalu memiliki lebih 100 permainan famili dalam kawasan seluas tiga kilometer persegi.

Pihak kerajaan tempatan berharap kewujudan kota hiburan mesra Syariah itu tidak hanya menarik pengunjung, malahan diharap dapat mendorong kehidupan sihat, aktiviti seimbang dan keceriaan bagi penduduk ibu kota.

Ini kerana buat masa ini, warga Riyadh tiada banyak kawasan hiburan keluarga kecuali Pusat Sejarah Raja Abdul Aziz yang mengandungi pelbagai muzium selain kompleks stadium Raja Fahd.

 

Sumber Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published.