ARTIKEL ‘KEHIDUPAN CINA DI BRUNEI’ CUBA CEMARKAN IMEJ ISLAM

sultan_omar_ali_saifuddin_mosque_02

 

Pada 30 September, 2016 satu rencana berjudul “Kehidupan Cina di Brunei” telah diterbitkan oleh Sinar Harian di laman web mereka. Artikel ini telah diterjemahkan pada asalnya dari sebuah tertbitan berbahasa Cina, iaitu Sin Chew Jit Poh. Terdapat beberapa perkara yang dipertikaikan dan akan kita lihat untuk dibahaskan.

Kita mungkin tidak dapat berbahas mengenai setiap perkara yang diutarakan namun demikian kita ingin melihat sejauh mana kebenaran dan kesahihan perkara ini dari konteks Malaysia dan sebuah negara Islam. Pertama sekali, adalah tidak sesuai untuk membandingkan Malaysia dengan mana-mana negara lain walaupun negara Islam dari aspek perundangan.

Ini kerana kita di bumi Malaysia mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan dan bukan Raja Mutlak seperti Brunei. Malaysia mempunyai sistem dwi perundangan, Syariah dan sivil, di mana Mahkamah Syariah hanya boleh menguatkuasakan undang-undang terhadap orang Islam semata-mata. Manakala di Brunei hanya terdapat satu sistem perundangan iaitu Syariah sahaja.

Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa ke atas golongan bukan Islam di negara ini. Persoalan kedua, adakah semua warga bukan Islam/Melayu yang menetap di Brunei itu adalah warganegara atau sekadar penduduk tetap? Jika mereka bukan warganegara dan tidak pernah dijanjikan status itu apakah asas di atas ketidakpuasan mereka?

Mereka sudah jelas tidak mempunyai hak yang sama seperti seorang warganegara. Seperti juga di mana-mana negara lain, terdapat kelebihan-kelebihan tertentu untuk seorang yang mempunyai kewarganegaraan berbanding dengan pelancong atau penduduk tetap.

Penulis juga membicarakan berkenaan tentang sebuah kedai yang jualannya merosot sebanyak 80% pada bulan Ramadhan kerana katanya pelancong semakin kurang ke Brunei setelah hudud diperkenalkan. Namun demikian menurut The Brunei Times, jumlah pelancong ke negara itu dijangka bertambah 2.5% berbanding tahun sebelumnya. Dan penambahan sebanyak 8.6% pelancong ke Brunei pada tahun 2015 berbanding tahun 2014.

Nyata terdapat satu kenyataan yang tidak selari dengan hakikat. Jumlah Pelancong ke Brunei telah bertambah, namun kerana terdapat ahli perniagaan bukan Islam mendakwa sebaliknya, tuntutan yang diterima adalah yang boleh memburukkan imej Islam dan Negara Brunei.

Berkenaan kemerosotan perniagaan, tidak perlu dituduh kerajaan atau pelancong jika enggan berjual beli dengan anda. Pada bulan Ramadhan perniagaan makanan boleh dibuat namun hanya secara bungkus dan tidak boleh makan di kedai. Adakah salah sebuah kerajaan jika tidak ada orang yang ingin membeli makanan bungkus dari kedai anda?

Pada bulan Ramadhan peniaga tersebut bebas berniaga, bukan dihalang. Dan sekiranya tiada pengunjung ke kedai tersebut walaupun kedai makanan itu masih berniaga maka kekurangan ini tidak boleh dituduh kepada orang ketiga. Sudah tentu peniaga perlu mencari jalan untuk meningkatkan jualan, selari dengan kehendak perundangan sesebuah negara.

epa01034394-bruneis-sultan-hassanal-bolkiah-r-speaks-to-his-first-fjn8xa

Penulis juga menyatakan bahawa, semua perniagaan perlu ditutup pada waktu solat Jumaat dari jam 12 tengahari ke jam 2 petang dan ini menyukarkan perniagaan pada jumaat. Harus diingat bahawa terdapat 168 jam untuk berniaga dalam masa seminggu. Dan perniagaan boleh merosot dengan hanya, 2 jam maka terdapat satu masalah pada model perniagaan tersebut.

Bagaimanakah 166 jam yang berbaki itu dimanfaatkan? Artikel ini merupakan satu perspektif penulis dari aspek ekonomi kapitalis. Kapitalis yang akan berusaha sedaya upaya untuk mengaut keuntungan dan akan berasa sangat kecewa jika pendapatan mereka ini terganggu.

Penulis juga mendakwa bahawa, adalah menjadi kesalahan untuk meminum, minuman keras secara terbuka. Ini hanya satu pendapat yang memburukkan negara Brunei semata-mata. Terdapat pelbagai negara Islam yang tidak membenarkan minuman keras diminum secara terbuka, sebagai contoh di Australia, India, Amerika Syarikat dan lain-lain negara bukan Islam.

Hanya kerana Brunei adalah negara Islam dan melaksanakan hudud maka telah dijadikan mangsa oleh media. Media sentiasa mencari jalan dan peluang untuk memburukkan negara-negara Islam secara umum. Dalam konteks Malaysia pula, media menjadikan Islam sebagai bahan untuk meraih populariti.

Seringkali berita-berita yang dipaparkan adalah tidak tepat atau menyimpang dari kebenaran dan tidak menceritakan konteks sebenar. Apa juga yang dilihat boleh memalukan Islam akan dibuat tanpa berfikir panjang dan apatah lagi untuk mensahihkan berita sebelum dikongsi kepada jutaan rakyat.

Harus diingati bahawa terdapat perkara-perkara yang lebih penting daripada hanya mengaut keuntungan. Kestabilan negara, keharmonian negara, kepatuhan rakyat terhadap undang-undang, keselamatan dan lain-lain aspek yang membina sesebuah negara.

Setiap mereka yang menetap atau bekerja di mana-mana negara wajar mematuhi sistem perundangan yang ada. Dan jika didapati sukar untuk hidup dala sesuatu keadaan maka terdapat dua pilihan, samada mereka mengadaptasikan diri mereka terhadap keadaan sekeliling atau berpindah ke negara yang boleh menunaikan kehendak mereka.

Sebagai penduduk di sesebuah negara, kita berpegang pada prinsip “di mana bumi di pijak di situ langit dijunjung”. Adalah tidak sesuai dengan akal fikiran manusia, hanya menyalahkan sistem perundangan yang wujud atas kerugian masing-masing. Semoga kita boleh hidup sebagai satu masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.

Keputusan yang kita ambil hari ini akan mencorakkan masa depan negara. Marilah kita bersatu berjuang untuk menegakkan Islam Agama Negara.

 

Oleh: Rehan Ahmad Jamaluddin Ahmad

Penulis ialah, Felo Penyelidik, Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM)

Leave a Reply

Your email address will not be published.