ASET, HARTA UMNO DIJAGA UMNO NEGERI DAN PUSAT

 

Sebagai usaha memperkemaskan urusan pentadbiran harta-harta seperti bangunan dan pejabat UMNO di seluruh negara telah diurus tadbir secara bersama oleh UMNO negeri dan pusat berkuat kuasa Januari tahun ini bagi mengelak sebarang masalah serta kekeliruan sekiranya berlaku perubahan pimpinan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjelaskan harta-harta tersebut dimiliki oleh Bahagian UMNO masing-masing tetapi dari segi urus tadbirnya diambilalih atau dijaga oleh UMNO negeri dan pusat.

Menurut Tengku Adnan, aset dan harta-harta UMNO sebelum ini misalnya bangunan dikawal oleh UMNO negeri atau bahagian sehingga kadang kala wujud kesulitan jika berlaku perubahan kepimpinan.

“Bila ada perubahan kepimpinan, harta UMNO seperti bangunan di kawasan tertentu (pengurusan) entah ke mana, macam-macam berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Bahagian UMNO Kuala Kangsar di Dewan Jubli Perak, Kuala kangsar, pagi Sabtu.

Dalam pada itu, Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata semua parti komponen BN sedang melakukan gerak kerja sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“BN sedang memantau gerak kerja semua parti komponen untuk memastikan semuanya berjalan lancar,” katanya.

Semasa menyampaikan ucapan di majlis tersebut Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut meminta semua pihak di Kuala Kangsar meningkatkan kerjasama dan memantapkan usaha bagi memastikan Parlimen itu dan dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Chandan serta Manong kekal milik BN pada PRU14.

“Kita tak nak ambil kira (keputusan) pilihan raya kecil (PRK) kerana bila PRK semua jentera ada di situ, tapi untuk PRU semua mesti kerja kuat dan bersatu memandangkan trend kemenangan BN semakin merosot sejak beberapa PRU lepas,” katanya.

Menyentuh soal calon pilihan raya, Tengku Adnan mengingatkan bahawa populariti dalam parti bukan menjadi faktor utama tetapi populariti dalam masyarakat dan rakyat menjadi antara faktor dipilih menjadi calon.

Ketika PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016, BN mengekalkan kerusi itu menerusi calonnya Mastura Mohd Yazid dengan majoriti 6,969 undi.

Tengku Adnan meminta semua anggota parti supaya setia kepada UMNO dan menyokong perjuangannya kerana ia merupakan sebuah parti yang mempunyai struktur jika dibandingkan dengan parti pembangkang.

 

Wartawan Watan Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.