BAGI HARIMAU MALAYA MASA – KHAIRY

 

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin optimis bahawa masa depan skuad Harimau Malaya akan kembali gemilang di bawah kendalian ketua jurulatih, Nelo Vingada serta kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau berkata Vingada baharu sahaja mengendalikan skuad kebangsaan dalam tempoh masa yang singkat, dan tidak adil untuk menilai prestasi skuad kebangsaan hanya selepas satu kekalahan dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019, Selasa lepas.

“Saya telah menonton perlawanan itu sepenuhnya di tv, dan saya melihat bahawa kalau kita ambil separuh masa pertama sebagai contoh, kita melihat banyak perubahan yang positif. Satu permainan yang kemas, tenang, organisasi yang baik dan disiplin yang tinggi.

“Ini menggambarkan masa depan pasukan kebangsaan kita. Sudah pasti kalau tengok dari segi keputusan pun, Lubnan ini satu pasukan yang ranking jauh lebih tinggi dari pasukan kebangsaan kita.

“Ini satu keputusan yang baik sebab kita menghampiri keputusan seri sampai ke saat yang terakhir. Jadi kita perlu positif dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita di Sepang, pada Jumaat.

Beliau ditemui selepas meninjau persiapan di pintu masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menjelang temasya Sukan SEA ke-29 dan Para ASEAN ke-9 (KL 2017) di sini.

Justeru, Khairy meminta agar peminat bola sepak tanah air dan media agar tidak membuat kesimpulan terlalu awal yang mengatakan bahawa skuad kebangsaan mahupun jurulatih serta FAM telah gagal.

“Perubahan itu tidak datang dengan cepat dan mudah. Kita bagi masa. Saya positif daripada perlawanan pertama pasukan kita di bawah jurulatih yang baharu,” katanya.

Skuad Harimau Malaya yang berada di ranking ke-155, gagal memanfaatkan perlawanan di gelanggang sendiri apabila tewas 1-2 kepada Lubnan yang menduduki ranking ke-135, di Stadium Larkin, Johor Bahru, Selasa lepas.

Pada perlawanan kumpulan B itu, Mahali Jasuli meletakkan pasukan negara di hadapan pada minit ke-43 sebelum pemain gantian Lubnan, Rabih Ataya meledak dua gol pada minit ke-79 dan masa tambahan untuk mengesahkan kemenangan Lubnan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.