BAHASA BAHARU DITEMUI DI MALAYSIA

 

Para penyelidIk telah mengasingkan hampir 7,000 bahasa, menurut kiraan terbaharu Linguistic Society of America. Ia mungkin dilihat sebagai senarai yang panjang tetapi ini tidak menghalang ahli antropologi dan linguistik daripada terus menemui bahasa baharu seperti yang ditemui di sebuah kampung di utara Semenanjung Malaysia baru baru ini.

Menurut satu kenyataan, para penyelidik dari Lund University di Sweden telah menemui bahasa itu semasa menjalankan projek Tongues of the Semang (Lidah Semang). Usaha melaksanakan dokumentasi di kampung-kampung etnik Semang dilakukan untuk mengumpul data bahasa mereka yang berasal daripada keluarga bahasa Austoasiatic yang dikenali sebagai Aslian.

Ketika para penyelidik mengkaji satu bahasa yang dipanggil Jelai di sebuah kampung, mereka mendapati tidak semua orang menuturkan bahasa itu, lapor smithsonian.com.

“Kami mendapati sebahagian besar penduduk kampung menggunakan bahasa yang berlainan. Mereka menggunakan perkataan, fenom, struktur tata bahasa yang tidak digunakan dalam Jelai,” kata Joanne Yager yang mengetuai kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Linguist Typology.

“Sesetengah perkataan mencadangkan hubungan dengan bahasa Aslian lain yang ditutur jauh di bahagian lain di Semenanjung Malaysia,”.

Kira-kira 280 orang menggunakan bahasa yang dikenali sebagai Jedek itu. Menurut Camilia Domonoske dari NPR, kelompok mereka yang bertutur Jedek adalah sebahagian daripada komuniti pemburu-pemungut yang satu ketika mendiami di sepanjang Sungai Pergau namun kemudian duduk di utara Malaysia.

Yager menerangkan dalam temu bual dengan Domonoske bahawa apa yang membuatkan bahasa itu luar biasa ialah tiada siapa yang tahu untuk mencarinya. Ketika ahli antropologi melakukan kajian di kampung di mana bahasa Jedek ditutur, mereka tidak menyedari atau tidak merekodkan bahasa itu.

“Kami tidak tahu ia wujud sama sekali. Kebanyakan bahasa yang tidak diterangkan dan tidak didokumenkan, kami tahu bahawa ia wujud,” kata Yager.

Salah satu punca kewujudannya tidak disedari sebelum ini kerana tiada nama formal untuk bahasa baharu itu. Para penyelidik memutuskan untuk memanggilnya Jedek berdasarkan penggunaan terma yang biasa digunakan dalam bahasa itu.

Menurut kenyataan media itu, bahasa baharu tersebut mencerminkan budaya masyarakat yang menggunakannya. Tidak terdapat perkataan seperti mencuri, membeli atau menjual tetapi terdapat perbendaharaan kata yang rumit mengenai perkongsian dan pertukaran.

Ini kerana terdapat sangat sedikit keganasan di kampung itu, persaingan antara kanak-kanak tidak digalakkan dan tiada undang-undang, mahkamah atau kerjaya berkaitannya. Namun, semua orang dijangka mempunyai kemahiran sama yang diperlukan untuk memburu dan mengutip.

Jedek bukan hanya bahasa yang ditemui baru-baru ini. Pada 2013, para penyelidik menemui 800 orang di Arunachal Pradesh, India menutur bahasa yang tidak diketahui Tibeto-Burmanyang dikenali Koro. Pada tahun yang sama, ahli linguistik di Australia menemui 350 penduduk di bandar terpencil, Lajamanu menggunakan bahasa dikenali Light Warlpiri, gabungan bahasa Inggeris dan dua dialek.

Bahasa tersebut merupakan evolusi baharu dan kebanyakan penuturnya berusia di bawah 40 tahun, bermakna ia dibangunkan pada dekad baru-baru ini apabila para pekerja dalam komuniti didedahkan kepada lebih banyak bahasa Inggeris ketika bekerja di ladang ternak dan membawa pulang bahasa baharu untuk diajar kepada ahli keluarga mereka.

 

Sumber Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published.