BAITUL MAQDIS : HADI GESA PM HANTAR SURAT BANTAH

 

Pesiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berharap agar Perdana Menteri menghantar surat bantahan kepada Rumah Putih dan memanggil segera Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan rakyat Malaysia.

Ia berikutan kenyataan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semalam yang mengiktiraf Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel.

“PAS mengecam tindakan Donald Trump mengisytiharkan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Israel yang disifatkan mencabar kesabaran umat Islam dan mencemarkan kesucian bumi Al-Quds.

“Keberanian Trump disusuli selepas kejayaan Amerika-Zionis mencampuri urusan negara-negara Arab khususnya kejayaannya mengikat Arab Saudi sebagai rakan karibnya, melalui strategi mengapi-apikan semangat perkauman dan mazhab sehingga berjaya menimbulkan kekacauan dan huru-hara di Asia Barat.

“Melalui kerajaan Malaysia, PAS mengharapkan Perdana Menteri menghantar surat bantahan kepada Rumah Putih dan memanggil segera Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia bagi menunjukkan bantahan dan kemarahan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Abdul Hadi, situasi ini membenarkan rahsia pemetaan dunia baru yang sedang berjalan supaya negara-negara Islam disibukkan dengan peperangan sesama sendiri sehingga mengabaikan perjuangan pembebasan Palestin dan Baitul Maqdis.

“Sejarah tamadun dunia telah membenarkan hanya Islam sahaja yang berjaya mewujudkan keadilan kepada masyarakat majmuk dengan membenarkan penganut Kristian dan Yahudi untuk beribadat dengan bebas dan aman.

“Tiada harapan keamanan daripada Amerika dan Zionis yang bergelar ketua pengganas dunia dan pembunuh utama nyawa umat Islam,” jelasnya.

Berikutan itu, PAS mengarahkan semua ahli untuk hadir himpunan aman membebaskan Baitul Maqdis di Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur dan di setiap negeri masing-masing pada 8 Disember 2017

Turut dijemput NGO-NGO dan mahasiswa untuk turut hadir bersama.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.