BAJET 2018 : KERAJAAN KOMITED HAL EHWAL ISLAM

 

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) , Tan Sri Othman Mustapha mengucapkan penghargaan atas peruntukan oleh kerajaan menerusi bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, peruntukan bagi pengurusan hal ehwal islam itu mencakupi keseluruhan aspek Maqasid Syariah sekaligus memberi pengiktirafan kepada murabbi ummah iaitu guru Kelas Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal dan siak yang bekerja di peringkat akar umbi tanpa mengenal penat dan lelah.

“Jakim merakamkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan kerana telah memberikan peruntukan bagi pengurusan hal ehwal Islam dalam pembentangan Bajet 2018 oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) baru-baru ini.

“Malahan bajet ini dilihat amat menyeluruh dan mencakupi keseluruhan aspek Maqasid Syariah. Para guru KAFA, guru takmir, imam, bilal dan siak turut menjadi tumpuan melalui pemberian bayaran khas one-off sebanyak RM1,500 sama seperti diberikan kepada penjawat awam,” katanya dalam kenyataan kepada media pada Selasa.

Beliau berkata, kerajaan juga bersetuju menyediakan dana sebanyak RM50 juta bagi tujuan pembaikan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan RM50 juta kepada GiatMara untuk membaik pulih serta menyelenggara sistem pendawaian di semua sekolah tahfiz yang berdaftar di seluruh negara.

Menurut Othman, setelah menerima peruntukan berkenaan daripada Kementerian Kewangan, Jakim akan mengagihkannya kepada negeri-negeri agar dapat dimanfaatkan oleh semua pihak berkaitan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.