BALA JIKA PH KUASAI MALAYSIA

 

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak memberikan bayangan kepada kesemua 2, 718 perwakilan mengenai bahaya apabila gabungan pembangkang memerintah Putrajaya.

Menurut Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Salleh Keruak, amaran itu bukan hanya diberikan kepada perwakilan parti namun kepada seluruh rakyat Malaysia akan musibah yang menimpa mereka sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberikan kuasa kelak.

“Ucapan presiden juga jelas menerangkan tentang berapa teruknya Malaysia jika parti lawan diberikan peluang yang sekadar berpolitik semata-mata, membuat pembohongan dan penipuan terhadap rakyat.

“Mereka tidak punyai arah tuju yang jelas dan Itulah sebabnya ucapan Presiden harus dihayati sepenuhnya dan apabila kita membuat penilaian kelak pada PRU-14 akan datang, hanya BN yang akan dipilih,” katanya selepas selesai mendengar Ucapan Dasar Presiden, dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pada Khamis.

Bendahari UMNO itu turut berkata, UMNO adalah parti yang boleh diharapkan oleh rakyat khususnya kaum Melayu di negara ini yang telah banyak merencanakan pelbagai pembangunan dalam memastikan ekonomi negara masih berkembang.

Malah katanya, segala penrancangan itu juga tidak mengenepikan kaum-kaum lain di negara ini.

“Ucapan presiden bukan hanya ditujukan kepada perwakilan sahaja, tetapi juga untuk rakyat Malaysia.

“Presiden telah menerangkan dengan jelas bahawa penting bagi kita untuk melihat masa hadapan dan rekod baik yang telah UMNO lakukan, sudah tentu masa depan akan terjamin sekiranya kita terus memimpin negara ini,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.