BANJIR P.PINANG : JANGAN SALAHKAN KERAJAAN PERSEKUTUAN – NOH

 

Kegagalan Kerajaan Pulau Pinang harus diakui kerana gagal mengikut garis panduan pembangunan lereng bukit, seperti yang ditetapkan sejak 2009 daripada terus menyalahkan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, berkata kerajaan negeri Pulau Pinang hanya mematuhi Garis Panduan Keselamatan Pembangunan Lereng Bukit yang mereka buat sendiri pada 2012 kerana ‘kononnya’ bersesuaian dengan negeri itu.

“Pihak kerajaan negeri sepatutnya patuhi saja garis kementerian sudah keluarkan kerana ia diiktiraf Majlis Pembangunan Fizikal Negara yang dipengerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan semua Ketua Menteri dan Menteri Besar menjadi ahlinya.

“Saya hendak nasihat mana-mana kerajaan negeri supaya patuhi apa juga garis panduan yang kita tetapkan kerana ia sudah mendapat persetujuan semua. Saya akui memang kementerian tiada kuasa untuk menguat kuasa tetapi tidak salah kerajaan negeri menguna pakai peraturan dan garis panduan itu.

“Kita tidak mahu akhirnya kerana mahu ikut cara sendiri apabila berlaku bencana alam, Kerajaan Persekutuan dipersalahkan konon tidak memantau dan memberi kelulusan projek,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Zairil Khir Johari (DAP-Bukit Bendera) yang menyatakan projek pembangunan di Lengkok Lembah Permai, Tanjung Bungah, Pulau Pinang tidak mendapat bantahan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) pada Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.