BANTUAN MAKANAN MISKIN BANDAR DALAM KAJIAN – TPM

 

Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Menangani Kemiskinan Bandar bersetuju mengkaji cadangan pelaksanaan program bantuan makanan kepada golongan miskin bandar, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, program itu juga akan turut membabitkan kerjasama pelbagai kementerian menggunakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Katanya, kerjasama itu akan turut membabitkan pihak syarikat pasar raya besar dalam menyediakan bekalan makanan sejuk beku kepada golongan miskin tegar di bandar.

“Sekiranya program ini berjaya dilaksanakan, pendekatan ini boleh dikembangkan ke universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) melalui program makanan bermasak yang dijual pada harga berpatutan kepada pelajar khususnya di bandar besar.

“Pelaksanaan program ini akan menggunakan bekas pelajar sebagai operator atau petugas,” katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Putrajaya, pada Khamis.

Beliau berkata, mesyuarat juga bersetuju bagi pelaksanaan beberapa strategi termasuk meningkatkan pengeluaran dalam negara secara optimum dan pengedaran bekalan yang cekap dan berkesan bagi menangani kenaikan harga barang.

“Satu Jawatankuasa Bersama antara kementerian akan ditubuhkan bagi mengkaji kos pengeluaran dan kos di sepanjang rantaian pengedaran bagi mengelakkan manipulasi harga oleh pihak orang tengah.

“Selain itu mesyuarat juga bersetuju bagi pelaksanaan beberapa program termasuk pembangunan usahawan, meningkatkan kebolehcapaian pengangkutan awam pada kadar yang munasabah, bantuan pengurusan kewangan, latihan kemahiran dan program mentor,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.