BAYI MAUT DIHEMPAP RUNTUHAN

 

Seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan maut akibat kecederaan parah di kepalanya selepas ditimpa runtuhan dinding rumahnya yang dirempuh sebuah kenderaan di Jalan Mesra 2, Kampung Pasir Putih dekat Pasir Gudang di sini, hari ini.

Nurul Ain Farisha Md Zainuddin disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, Rabu kira-kira sejam selepas kejadian 8.30 pagi itu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor Supt Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian berlaku semasa mangsa sedang baring di ruang tamu rumahnya manakala ibunya ke pintu hadapan untuk menghantar suaminya bekerja.

“Ketika itu, ibu mangsa melihat sebuah kereta Hyundai Matrix memasuki kawasan rumahnya dan secara tiba-tiba kenderaan pelbagai guna (MPV) itu meluru lalu melanggar motosikal suaminya dan dinding rumah itu,” katanya.

Akibat rempuhan itu, serpihan batu dinding rumah menimpa badan Nurul Ain Farisha.

Beliau berkata bayi perempuan itu dibawa ke HSI oleh bapanya dan disahkan meninggal dunia kira-kira 9.45 pagi akibat kecederaan serius di bahagian kepala.

Dzulkhairi berkata pemandu wanita berkenaan dipercayai tertekan padel minyak sistem automatik kereta itu sebelum sempat menukar gear undur.

Pemandu berumur 40 tahun itu kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Sumber Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.