BEKU AKAUN TINDAKAN ZALIM – NAJIB

 

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelar pembekuan akaun bank beliau dan anak-anaknya dan menyifatkannya sebagai tindakan zalim oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib berkata beliau hanya sedar akaun peribadinya dibekukan selepas ceknya untuk membayar bil perubatan anaknya ditendang bank.

“Tindakan tidak wajar agensi (kerajaan) dan masa akaun saya dibetulkan itu adalah tidak wajar. Saya kecewa dengan tindakan itu, masanya dan amalan zalim oleh kerajaan hari ini,” katanya.

Puteri Norlisa, anak perempuan Najib dengan isteri pertama Puteri Zainah Tengku Iskandar dilapor menghidap kanser tahap empat (akhir).

Beliau dilapor mengalami masalah membayar bil hospital susulan pembekuan akaun banknya.

Najib dalam kenyataannya di Facebook hari ini bagaimanapun berkata beliau difahamkan akaun bank anak-anaknya tidak lagi dibekukan bermula pagi Rabu.

Justeru katanya, tindakan itu membuktikan pembekuan akaun sebelum ini adalah tidak berasas.

Najib berkata pembekuan akaun bank sebenarnya tiada kena mengena dengan siasatan yang sedang berjalan terhadapnya.

Katanya, akaun peribadinya hanya digunakan untuk menerima gaji sebagai Ahli Parlimen dan bayaran pencen sebagai bekas Menteri Besar Pahang.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.