BENJY DITAHAN EDAR DADAH

 

Bagaikan tidak serik ataupun tidak menghargai peluang kedua, pelakon Benjy atau nama sebenarnya Khaeryll Benjamin Ibrahim sekali lagi ditangkap polis kerana dadah.

Pelakon yang juga anak kepada Allahyarhamah seniwati Azean Irdawaty itu ditangkap kerana mengedar dadah di Indonesia.

Ia susulan tindakan pihak berkuasa Indonesia yang berjaya mengeluarkan dua paket syabu yang disorokkan di dalam dubur suspek tersebut.

Menurut laporan portal Detik.com, pelakon itu diberkas setelah dua paket syabu berjaya dikeluarkan dari duburnya oleh pasukan keselamatan selepas dia mendarat di Lapangan Terbang Kualanamu, Medan pada Selasa lalu.

Menurut Ketua Pengawasan dan Pelayanan Kastam dan Cukai Lapangan Terbang Kualanamu, Zaky Firmansayah, Benjy tiba di lapangan terbang itu menggunakan pesawat Malindo Air dari Kuala Lumpur untuk bertemu rakannya.

“Setelah dilakukan pemeriksaan, ditemukan dua bungkus syabu seberat 14 gram yang disembunyikan di duburnya.

“Suspek mengaku membeli syabu daripada seseorang di Kuala Lumpur. Suspek juga pernah didakwa kerana kes sama (dadah) di Malaysia sebanyak empat kali sekitar 2015,” ujarnya.

Menurut laporan tersebut, Benjy kini ditahan untuk siasatan di sebuah balai polis di sana.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.