BN TIDAK DERA KELANTAN

 

Pembinaan 418 unit rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan kos RM75 juta yang sedang dibina di Kampung Batu 25, Machang yang dijangka siap pada awal 2019 bukti Kerajaan Pusat tidak ‘mendera’ Kelantan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata meskipun rakyat Kelantan menolak Barisan Nasional (BN), namun, melalui projek sebegitu ia sekurang-kurangnya memberi ganjaran di akhirat nanti.

Beliau berkata, PPR berkenaan yang merupakan antara lapan projek yang sedang dan telah siap dilaksanakan di Kelantan, adalah sebahagian daripada janji beliau kepada rakyat Machang beberapa tahun lepas.

Setiap unit rumah PPR itu dijual pada harga RM35,000 seunit dengan subsidi antara RM80,000 dan RM120,000 ke atas ditanggung kerajaan berdasarkan kos pembinaan dan harga tanah bagi sesebuah PPR.

“Kerajaan persekutuan melakukan yang terbaik untuk semua rakyat Kelantan. Sebagai Perdana Menteri saya tidak pernah amalkan dasar menghukum rakyat Kelantan, kalau diukur dari segi peruntukan saya beri lebih daripada pemimpin yang terdahulu.

“Di bawah Rancangan Malaysia Kelapan jumlah peruntukan yang diluluskan kepada Kelantan hanya RM3.7 bilion manakala pada Rancangan Malaysia Ke-11 peruntukannya berjumlah RM12.87 bilion, hampir empat kali ganda,” katanya.

Najib berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan pelancaran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Parlimen Machang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Machang, di sini, pada Sabtu.

Najib yang juga Presiden UMNO turut berharap akan berlaku perubahan di Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berbanding pilihan raya sebelum ini memandangkan sokongan terhadap UMNO dan BN di negeri itu bertambah baik.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.