BOIKOT MINYAK SAWIT: MALAYSIA BERTINDAK BALAS- PM

 

Malaysia dan Indonesia bakal bertindak balas terhadap beberapa negara termasuk Kesatuan Eropah (EU) yang memboikot minyak sawit. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sudah berbincang dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo ketika Sidang Kemuncak Asean di Manila supaya kedua-dua negara melalui Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) memberikan penjelasan berhubung dakwaan negatif terhadap pengeluaran minyak sawit.

“Kita mesti beritahu negara yang memboikot minyak sawit, Malaysia dan Indonesia bukan negara tidak ada kemampuan, kita juga beli banyak produk daripada negara mereka.

“Dan siapa yang memboikot minyak sawit mungkin berdepan tindakan balas dari kedua negara,” tegasnya ketika berucap merasmikan Sambutan 100 Tahun Industri Sawit Negara di Ladang Tennamaram di Bestari Jaya, Selangor, Khamis.

Turut hadir Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar, Pengerusi Sime Darby Bhd, Tan Sri Abdul Ghani Othman dan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.

Sementara itu, Najib turut menggariskan lima anjakan transformasi yang perlu dilakukan bagi memastikan masa depan industri sawit lebih cemerlang untuk 100 tahun akan datang, antaranya memperkenalkan Skim Pensijilan Mampan Malaysia (MSPO).

“Pada hari ini, industri sawit negara berdepan pelbagai cabaran, tuduhan dan persepsi negatif oleh beberapa kumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengaitkan kononnya pembangunan tanaman sawit tidak mampan, mencemarkan alam sekitar dan menyebabkan penebangan hutan berlaku di negara kita.

“Justeru, bagi menangani permasalahan ini, khususnya tuduhan terhadap isu kemampanan, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan MSPO yang akan dilaksana secara mandatori mulai 31 Disember 2019. Ini juga akan menjaga kepentingan industri sawit dan eksport kita ke negara maju,” katanya.

Sementara itu, Najib juga mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM510 juta untuk Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil dan Tanam Baharu Sawit Pekebun Kecil untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.