BOLEH SEMAK WANG TIDAK DITUNTUT MESKIPUN 15 TAHUN

 

Wang Tidak Dituntut (WTD) masih boleh dituntut atau dibayar kepada pemiliknya meskipun 15 tahun wang tersebut belum pernah dituntut.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz tiada had tempoh yang ditetapkan bagi seseorang individu untuk menuntut wang tersebut.

Bagaimanapun, katanya WTD itu akan dipindahkan ke Wang Pindahan Hasil selepas tempoh 15 ke 20 tahun wang tersebut tidak lagi dituntut.

“Apabila wang tidak dituntut ini dipegang oleh Jabatan Akauntan (AG) sehingga 15 tahun mengikut seksyen 11, kita boleh masukkan ke dalam wang pindahan hasil, sekiranya lepas 15 tahun 20 tahun dah masuk ke akaun hasil pun ada waris datang menuntut, kita akan bayar juga, tidak ada masalah.

“Dalam seksyen 9 ini juga wang yang dikutip masuk dalam akaun yang dijaga oleh kerajaan , kalau ada waris bawa dokumen yang menguatkan hujah bahawa mereka berhak untuk menuntut, kita akan layan mengikut tatacara prosedurnya, tak ada masalah,” katanya bagi menjawab soalan yang dikemukakan ahli parlimen Setiawangsa, Datuk Fauzi Ahmad Zahari di Dewan Rakyat, pada Rabu.

Terdahulu, Fauzi bertanya berapakah jumlah terkini Wang Tidak Dituntut dan apakah langkah yang dilaksanakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap kewujudan wang ini.

Mengulas lanjut Othman yang juga ahli parlimen Jerlun berkata dari segi prosedurnya, individu tersebut boleh membuat semakan di pejabat AG dengan membawa kad pengenalan untuk mengesan berapa jumlah wang yang belum dituntut.

Sementara bagi individu yang sudah meninggal dunia, waris boleh membawa sijil kematian dan surat beranak bagi mengesahkan pertalian hubungan.

“Selepas 30 hari boring diisi, wang tersebut akan dipulangkan mengikut jumlah yang perlu dibayar,” ujarnya.

Setakat Jun lalu, jumlah WTD dianggarkan sebanyak RM5.779 bilion membabitkan lebih 55 juta akaun sejak 1977.

Othman turut menjelaskan akaun tidak aktif selama lebih tujuh tahun, baki di dalam akaun tersebut dianggap tidak dituntut sebagaimana yang ditakrifkan di bawah Seksyen 8 Akta WTD 1965 dan hendaklah diserahkan kepada Pendaftar WTD.

Ini termasuk akaun seperti simpanan, semasa dan deposit tetap yang sudah matang dengan arahan pembaharuan secara automatik.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.