BOOKIE BOLA : AH CHONG ‘SERAH DIRI’ PADA SPRM

 

Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Khairul Anuar Baharum atau lebih dikenali sebagai ‘Ah Chong’ hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) PUTRAJAYA pagi Jumaat.

Mantan pemain berusia 42 tahun dan berasal dari Terengganu itu dilaporkan muncul bagi memberi keterangan berhubung kes mengatur keputusan perlawanan Liga Perdana.

Ah Chong yang pernah bermain untuk pasukan Selangor dan Negeri Sembilan, tiba di pekarangan bangunan SPRM kira-kira pukul 10.45 pagi Jumaat dengan diiringi seorang peguam.

SPRM sebelum ini meminta Ah Chong hadir ke Ibu Pejabat SPRM secepat mungkin bagi membantu siasatan berhubung kes mengatur perlawanan liga bola sepak tempatan.

Kes korupsi tersebut membabitkan pasukan Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA).

Rabu lalu, tiga pemain MIFA yang ditahan reman selama tujuh hari berhubung kes yang sama telah dibebaskan dengan jaminan SPRM oleh Mahkamah Majistret.

Manakala seorang lagi lelaki yang merupakan bookie bagi kes tersebut disambung reman sehingga 17 April ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.