BRUNEI TEMUI TELAGA MINYAK DARAT

 

Ketika simpanan minyak mentah hanya berbaki 1.1 bilion tong, Brunei kembali melakar sejarah apabila berjaya menemui semula telaga di kawasan daratan negara itu.

Menurut media tempatan, telaga sedalam 4,319 meter, lebih daripada tinggi Gunung Kinabalu iaitu 4,095 meter, ditemui di Layang-Layang dalam kawasan Lumut, Daerah Belait selepas 37 tahun tempat sama pernah diteroka.

Pasukan cari gali Brunei Shell Petroleum Company Sdn. Bhd. (BSP) dalam kenyataan bersama dengan Jabatan Tenaga dan Industri di Jabatan Perdana Menteri Brunei mengesahkan penemuan bersejarah tersebut semalam.

Apa yang menarik, potensi telaga dengan kod rujukan T203 itu dipercayai mampu memberi perolehan bernilai B$900 juta (kira-kira RM3 bilion) berdasarkan harga rendah pasaran minyak mentah global pada masa ini.

Ia bersamaan dengan 15 peratus daripada keseluruhan bajet kerajaan Brunei ketika ini iaitu B$6 bilion (kira-kira RM19 bilion) susulan penjimatan peruntukan ekoran kemerosotan pendapatan akibat kejatuhan harga minyak.

Menurut kenyataan tersebut, paling bermakna apabila telaga yang digerudi selama 567 hari tanpa rekod kemalangan itu dijumpai berdekatan pedalaman Seria, lapangan minyak pertama dan tertua di Brunei ditemui pada 1929 lalu.

Untuk rekod, sejak 88 tahun terdapat lebih 900 telaga cari gali sekitar lapangan medan tersebut, namun kini hanya kira-kira 350 buah yang masih lagi beroperasi mengeluarkan sejumlah 167,000 tong minyak sehari untuk Brunei.

Telaga Layang-Layang merupakan yang pertama seumpamanya menggunakan konsep geologi terbaharu iaitu ‘shale diapir trap‘ atau perangkap tanah dilonjak setelah dikenal pasti menerusi analisis kajian data seismik di medan.

Dianggarkan telaga baharu itu mampu mengeluarkan hasil sebanyak 18 juta tong minyak manakala tiga lagi telaga telah dikenal pasti positif berada di kawasan tersebut yang bakal diteroka sepanjang tahun ini dan tahun hadapan.

Sekitar 90 peratus sumber ekonomi Brunei adalah daripada hasil minyak termasuk di perairan Laut China Selatan seluas lebih 10,000 kilometer persegi iaitu kira-kira 100 kilometer dari pantai.

 

Sumber Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published.