BUANG MASA KECOH PASAL MAHATHIR – TAJUDDIN

 

Pemimpin UMNO perlu bersikap profesional dan tidak terlalu memperbesarkan isu pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri oleh Pakatan Harapan, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata perkara itu bukan sahaja tidak mendatangkan manfaat kepada parti, malah memberi kelebihan daripada sudut kelangsungan politik bekas perdana menteri itu.

“Rata-rata berpendapat pemilihan Dr Mahathir sebagai perdana menteri tidak sesuai berdasarkan pelbagai faktor termasuk usianya.

“Kalau kita sedar tentang perkara itu, mengapa ia perlu diperbesarkan? Tiada faedah dan hanya beri kelebihan politik pada beliau,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan 45 Tahun Rancangan Tanah Belia Khas Seberang Perak di Pasir Salak, pada Sabtu.

Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Shah Alam, Selangor pada 7 Jan lalu menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya gabungan tersebut memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Tajuddin yang juga anggota Parlimen Pasir Salak berkata pemimpin UMNO perlu menghadapi PRU14 dengan kekuatan tersendiri dan menguar-uarkan kemajuan yang telah dibawa jika ingin terus diberi mandat untuk memerintah.

“Kita kena tunjuk kejayaan kita selama ini membela rakyat, bangunkan negara selain jaga kepentingan agama Islam. Bukannya tonjol maki hamun, fitnah dan sebagainya yang bercanggah dengan budaya Melayu,” katanya.

Mengulas mengenai peluang BN memenangi PRU14, Tajuddin berkata rakyat perlu bijak memilih dan tidak menggunakan emosi dalam memilih pemimpin bagi memastikan masa depan dan keharmonian negara kekal terjamin.

“Saya lama dalam UMNO, banyak perkara yang telah dilalui dan saya harap rakyat buat pertimbangan sewajarnya dalam menentukan masa depan mereka dan negara,” katanya.

 

Sumber BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.