BUDAK MAHU TINGGAL DENGAN BAPA

 

Hasrat budak lelaki berusia 10 tahun, yang dirantai pada sebuah tong gas baru-baru ini, untuk bertemu bapa kandungnya tercapai pada Ahad.

Exco Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata lelaki berusia 36 tahun itu, yang menetap di Melaka, tiba di Kuantan lewat petang Ahad untuk bertemu dengan anaknya.

Sebagai menghormati hak peribadi kedua beranak itu, beliau berkata perjumpaan mereka diadakan secara tertutup.

“Bapa kandung kanak-kanak itu kemudian menyatakan kesediaannya menjaga anaknya selepas ini. Mangsa juga menangis kerana ingin mengikut ayahnya pulang ke Melaka.

“Namun, saya menjelaskan bahawa perkara itu akan ditentukan oleh mahkamah selepas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selesai membuat laporan,” katanya.

Shahaniza memberitahu budak lelaki itu akan diletakkan di bawah jagaan JKM sehingga isu itu selesai.

Semasa melawat budak lelaki itu di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, semalam, Shahaniza berkata dia memaklumkan hasratnya untuk bertemu bapa kandungnya yang bekerja sebagai pencuci kereta di Pantai Klebang, Melaka selepas lama tidak berjumpa.

Mangsa, yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik, ditemui dalam keadaan lehernya diikat pada tong gas menggunakan rantai dan kunci mangga selepas polis memecah masuk sebuah rumah di Indera Mahkota 1 di sini pada Jumaat.

Mangsa dikatakan diperlakukan begitu oleh bapa tirinya yang merupakan seorang anggota tentera, kerana pulang lewat.

Bapa tirinya yang berusia 32 tahun dan ibunya yang berusia 37 tahun kini ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak (Pindaan) 2016 iaitu mendera, mengabai dan menganiaya kanak-kanak.

Jika sabit kesalahan, seksyen itu memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.