BUKTIKAN KEIKHLASAN- PANDIKAR

 

Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini mencabar ahli politik Sabah yang lantang memperjuangkan hak negeri itu supaya membuktikan keikhlasan perjuangan mereka.

Ini termasuk cabaran kepada Parti Warisan sama ada akan meminda Artikel 5A dalam Perlembagaan Negeri Sabah, iaitu agama Islam tidak lagi menjadi agama negeri Sabah sekiranya parti itu memerintah Sabah.

Menurut Pandikar, cabaran sama ditujukan kepada Presiden Parti STAR, Datuk Dr Jeffery Kitingan yang turut mendakwa dirinya memutar fakta berhubung Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63.

Cabaran tersebut dilakukan berikutan salah tafsir terhadap sejarah pembentukan Malaysia dan perundangan yang berkaitan dengannya bagi memenuhi agenda politik masing-masing.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pandikar menegaskan, terdapat beberapa pihak berkepentingan sengaja membangkitkan isu hak-hak negeri Sabah dan Sarawak yang dikatakan terabai di peringkat persekutuan

Beliau yang juga bekas wakil rakyat di negeri itu berkata, cabaran tersebut dibuat atas kapasiti dirinya sebagai rakyat Sabah, berikutan isu berkenaan merupakan perkara yang serius.

“Pihak yang mempergunakan isu ini, membuat kenyataan kononnya atas kehendak dan kemahuan rakyat negeri Sabah, seolah-olah pendapat mereka ini dipersetujui oleh semua rakyat Sabah.

“Oleh kerana pihak-pihak ini, beria-ia sangat untuk menegakkan hak-hak Sabah yang seperti mana kononnya dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia1963 , maka saya mencabar mereka untuk buktikan keikhlasan perjuangan mereka kepada rakyat negeri Sabah,” katanya pada Selasa.

Tegas beliau, cabaran itu berasaskan seperti mana yang diketahui umum bahawa sebelum 1976, negeri Sabah tidak mempunyai agama rasmi selari dengan apa yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Bagaimanapun, kata Pandikar pada tahun 1976, kerajaan USNO telah mengubah keadaan itu dengan meminda Perlembagaan Negeri Sabah dengan memasukkan artikel baru – Artikel 5A yang memperuntukkan bahawa Islam adalah agama rasmi negeri Sabah.

“Sebelum saya menjawab kenyataan Yang Berhormat Darell Leiking yang juga Timbalan Presiden Parti Warisan yang disiarkan oleh The Borneo Post pada 14 November 2017, saya mahu Yang Berhormat Darell Leiking menyatakan dengan jelas iaitu:

“Adakah Parti Warisan akan meminda Artikel 5A dalam Perlembagaan Negeri Sabah, iaitu agama Islam tidak lagi menjadi agama negeri Sabah kalau parti Warisan memerintah negeri Sabah?”

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.