BULI : 10 PELAJAR MRSM DIGANTUNG

 

Majlis Amanah Rakyat (MARA) mengesahkan 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak digantung sekolah kerana membuli enam junior, awal bulan ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pendidikan) MARA, Mohamed Roseli Dol, berkata pada 7 Mei lalu, Jawatankuasa Disiplin Maktab (JDM) bersidang dan memutuskan semua pelajar terbabit digantung sekolah seminggu bermula tarikh itu hingga 15 Mei lalu.

Pihak MARA mengambil perhatian serius berhubung kebajikan dan keselamatan pelajar di semua Institusi Pendidikan MARA (IPMa) di bawah kendalian agensi itu.

Beliau berkata, sejurus kejadian dilaporkan, pihak pengurusan MRSM Parit, warden asrama dan guru bertugas bergegas ke tempat kejadian untuk memantau dan menjalankan siasatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Zainal Abdullah dilaporkan berkata, enam pelajar MRSM Parit menjadi mangsa buli apabila dipukul oleh 10 senior mereka kerana mangsa enggan meminjamkan kasut bola, awal bulan ini.

Kes itu membabitkan mangsa yang semuanya berusia 14 tahun yang dipukul pelajar senior berumur 15 dan 16 tahun dan pihaknya menerima enam laporan polis berhubung kes buli itu pada 6 Mei lalu.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.