BULI : ROMBAKAN BESAR-BESARAN UPNM

 

Kementerian Pertahanan serius mahu melihat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Akademik Latihan Tentera (ALT) bertanggungjawab dalam kejadian buli melibatkan kematian seorang pelajarnya baru-baru ini.

Menteri Pertahan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, satu rombakan besar-besaran akan dilakukan bagi menambah baik prosedur Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Akademik Latihan Tentera (ALT).

Beliau berkata, Kementerian Pertahanan mahu UPNM dan ALT bertanggungjawab dalam kejadian buli sehingga mengakibatkan kematian seorang pelajarnya baru-baru ini.

“Mereka (UPNM) tidak boleh lepas tangan begitu sahaja dalam hal ini. Saya kini sedang menunggu cadangan daripada UPNM untuk merombak pengurusannya,” katanya pada sidang media selepas menghadiri sesi perjumaan bersama Setiausaha UMNO Bahagian, Negeri dan Setiausaha Wanita, Pemuda dan Puteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, Ahad.

Mengenai kes 26 pelajar yang didakwa di mahkamah, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, 13 daripada mereka didakwa atas kes membunuh, manakala 13 pelajar lagi akan ditentukan oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

“Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh sudah menjawab kedudukan 13 pelajar lagi itu,” katanya.

Mengenai siasatan insiden pesawat Hawk terhempas pula, Hishammuddin berkata, beliau mahu siasatan secara telus dan terperinci dilakukan.

Setakat ini, katanya, pesawat Hawk masih lagi mampu menjalankan tugas dalam peringkat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan belum bercadang memikirkan penggantian pesawat lain.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.