BURUH BINAAN MAUT, KREN MRT TUMBANG

 

Seorang pekerja pembinaan maut selepas sebuah kren di tapak pembinaan landasan MRT di Jalan Jinjang, ibu kota tumbang, lewat malam Ahad.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Khirudin Drahman berkata pemeriksaan awal mendapati sebuah kren di tapak pembinaan landasan itu menggelungsur dan tumbang.

Menurutnya, Bomba menerima laporan kejadian pada jam 11.49 malam, menggerakkan aset bersama 30 pegawai dan anggota untuk kerja menyelamat.

“Seorang mangsa dilaporkan jatuh, manakala dua lagi mangsa terperangkap dalam kren yang tumbang itu dengan ketinggian 12 meter.

“Anggota kita terpaksa menggunakan jentera Turn Table Ladder (TTL) untuk menurunkan kesemua mangsa yang terperangkap itu,” katanya pada Ahad.

Tambah Khirudin, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dikenali sebagai Firdaus Md Taib, 41.

“Dua lagi mangsa selamat, namun salah seorang cedera pada pergelangan kaki dan dibawa ke Hospital Selayang. Kedua-dua mangsa berusia 24 dan 38 tahun,” katanya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.