CADANGAN TUBUH BADAN SIASATAN ANTARABANGSA KE KABINET ESOK

hishammuddin

Hishammuddin selar media asing

Kementerian Pengangkutan akan membentangkan cadangan penubuhan badan siasatan antarabangsa berkaitan kehilangan MH370 kepada Kabinet Rabu ini.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kabinet juga akan dimaklumkan mengenai tiga jawatankusa kementerian yang turut dibentuk sebelum ini.

“Tiga jawatankuasa ini telahpun mengadakan mesyuarat sebelum ini. Apa yang kita ingin lakukan dengan penubuhan badan penyiasatan antarabangsa dan tiga jawatankuasa kabinet ini adalah untuk mengetengahkan semua isu yang berkaitan dengan MH370,” katanya.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian dalam sidang mediasempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014 di PWTC Kuala Lumpur.

“Apa yang penting ialah semua pihak melihat kehadapan dan kita telahpun memasuki fasa baru pencarian terhadap peristiwa yang tidak dijangka ini.”

“Bagaimana anda mahu menyalahkan Malaysia dalam insiden yang tak pernah berlaku kepada mana-mana negara sebelum ini? Kita hanya akan dapat jawapan hanya apabila kumpulan siasatan selesai menjalankan siasatan dan kita menerima maklumat yang lengkap,” katanya.

Mengulas mengenai hak terhadap kotak hitam pesawat MH370, katanya bukanlah perkara paling penting kepada Malaysia pada masa ini.

Dan baginya apa yang lebih penting adalah mencari kotak hitam itu kerana semua kebenaran mengenai apa yang berlaku pada saat akhir dalam penerbangan itu sebelum ia hilang pada 8 Mac lalu ada didalamnya.

“Bagi mencari kebenaran, kita perlu mendedahkan kandungan kotak hitam itu,” katanya.

Berhubung pembabitan Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang pada masa ini berada di United Kingdom untuk berbincang mengenai hak terhadap kotak hitam itu, Hishammuddin berkata,  Gani dilantik untuk melihat keseluruhan operasi itu daripada sudut perundangan.

“Kita melihat kepada semua perkara untuk memastikan semua berjalan lancar termasuk undang-undang dan perkara diplomatik kerana ini adalah operasi multinasional. Saya sendiri tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengarahkan beliau (Gani) mengenai perkara ini. Kabinet yang melantik beliau sejak awal lagi,” katanya.

Sementara itu Hishammuddin memberitahu, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) sedang menganalisa gambar yang diambil oleh Kenderaan dalam airautomatik (AUV), Bluefin-21 yang digunakan untuk mencari pesawat MH370 16 jam yang lalu.

JACC juga sedang menganalisa tumpahan minyak yang ditemui 5.5 kilometer dari isyarat denyutan yang dikesan sebelum ini.

“Kita perlu menunggu hasil keputusan analisa ini dan saya percaya JACC akan mendedahkan penemuam ini,” katanya.

Sementara itu Hishammuddin turut menasihatkan keluarga penumpang agar menghubungi pihak berkuasa jika dikunjungi individu yang mendakwa diri mereka sebagai peguam.

Ini kerana beliau ada menerima laporan kehadiran beberapa individu yang mendakwa dirinya peguam dengan ahli keluarga mangsa.

Sehubungan itu beliau mahu semua keluarga menggunakan saluran yang telah disediakan sebelum ini dan laporkan kepada pihak berkuasa jika ada cubaan tertentu.

Sumber BNBBC

Leave a Reply

Your email address will not be published.