CEC : BUAT ADUAN JIKA TAK PUAS HATI

 

Perwakilan DAP yang tidak berpuas hati dengan keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) pada Kongres Khas DAP 2017 semalam disaran mengemukakan aduan kepada jawatankuasa itu.

Setiausaha Publisiti DAP Selangor, Ng Suee Lim berkata aduan secara bertulis itu adalah bagi memberi ruang kepada mereka menyatakan sebarang isu berkaitan pemilihan semula CEC untuk disalurkan terus kepada kepimpinan parti.

“Kami (Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Selangor) di sini tidak akan beri komen mengenai CEC kerana kami yakin semua perwakilan mempunyai kebijaksanaan sendiri,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam, pada Isnin.

Mengulas dakwaan segelintir perwakilan yang menyatakan tidak menerima notis rasmi berhubung pemilihan semula CEC, Ng yang juga ADUN Sekinchan memberitahu isu berkenaan harus dirujuk kepada firma audit bebas, Grant Thornton yang telah dilantik oleh DAP bagi menguruskan semua aspek berkaitan pemilihan semula itu.

Dalam pemilihan semula itu semalam, pasangan ayah-anak, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng kekal menganggotai CEC selepas mendapat antara undi terbanyak iaitu 1,199 undi untuk Kit Siang, selaku pemimpin veteran DAP manakala Guan Eng yang memperoleh 1,180 undi kekal sebagai Setiausaha Agung parti.

Turut kekal menganggotai CEC ialah anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo yang menerima undi kedua terbanyak iaitu 1,198.

 

Sumber Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published.