CHARLIE, NURI SEDANG DINAIK TARAF – HISHAMMUDDIN

 

Kerajaan kini sedang menaik taraf pesawat Charlie C130 dan helikopter Nuri merangkumi kesesuaian penggunaan peralatan lebih canggih.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata usaha yang sedang dilakukan itu bagi memastikan aset ketenteraan itu selamat digunakan pada setiap masa.

Beliau berkata, Bajet 2018 dibentang kerajaan pada 27 Oktober lalu turut menyediakan peruntukan bagi usaha itu termasuk meningkatkan keupayaan pesawat terbabit dengan penggunaan teknologi terkini.

“Adalah tidak adil untuk mengaitkan satu insiden yang berlaku ke atas pesawat jenis itu, memaksa kerajaan menghentikan keseluruhan pengoperasian.

“Saya harap semua pihak memahami. Kita sedang lakukan ‘uprgading’ (usaha naik taraf). Isu ini tidak sama sekali diambil mudah oleh kami di Kementerian Pertahanan dan pegawai kita di TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia).

“Dalam Bajet 2018, memang ada peruntukan khusus diberi untuk tujuan menaik taraf pesawat berkenaan,” katanya pada sidang media selepas meninjau Konvensyen Pemerkasaan Agenda Ummah 3.0 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas insiden pesawat angkut Charlie C130 milik TUDM yang membuat pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan, semalam selepas menghadapi masalah kekaki pesawat ‘landing gear’.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.