CHEGU BARD DIDAKWA MENGHASUT

 

Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada Jumaat atas dakwaan memuat naik maklumat yang mempunyai unsur menghasut berkaitan kesultanan Selangor menerusi media sosial.

Tertuduh yang dikenali Chegubard memohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Mengikut kertas pertuduhan, bekas Ketua PKR Cabang Rembau itu didakwa mengeluarkan artikel berkaitan Sultan Sharafuddin Idris Shahitu menerusi Facebooknya miliknya pada petang 11 Januari di Seksyen 7, Shah Alam.

Lelaki berusia 40 tahun itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948(Akta 15) dan berdepan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Iskandar Ahmad memohon tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dan pasport antarabangsanya ditahan.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Muhammad Nor Izzat Nordin, memohon supaya jaminan itu dikurangkan kepada RM3,000 hingga RM5,000.

Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000, pasport antarabangsanya ditahan serta menetapkan sebutan semula kes pada 16 Mei depan.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.