CHONG WEI BUKA AKADEMI BADMINTON DI PERAK

 

Jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei terus membuktikan komitmennya dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu apabila akan membuka akademi di Ipoh, Perak.

Diberi nama Akademi Badminton Lee Chong Wei, ia akan dirasmikan pada 22 Julai ini.

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu berasa bertanggungjawab membantu membangunkan sukan badminton negara bagi memastikan Malaysia menjadi kuasa besar dunia.

“Saya buka tiga akademi di Ipoh dan saya juga akan membuka satu di Kuala Lumpur dan Johor.

“Akademi ini akan dikendalikan jurulatih berpengalaman dan saya sedang mencari jurulatih dari luar negara terutama China untuk dibawa ke sini.

“Akademi ini akan membabitkan pemain berusia bawah 18 tahun. Saya mahu membantu membesarkan lagi kumpulan bakat baharu di Malaysia. Kita tidak boleh harapkan BAM (Persatuan Badminton Malaysia).

“Saya sendiri akan turun ke akademi ini untuk membantu jika ada kelapangan,” katanya.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dan ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, dijangka hadir pada majlis perasmian itu nanti.

Pemain nombor dua dunia itu komited untuk membantu meningkatkan prestasi badminton negara dan akan melakukan yang terbaik terutama melahirkan pemain bertaraf dunia.

“Pemain akan diberi latihan yang secukupnya untuk menyerlahkan potensi mereka.

“Jika benar-benar berpotensi, sudah pasti BAM akan ambil dan itu peluang mereka untuk mengembangkan bakat sekali gus menjadi pemain bertaraf dunia,” katanya.

 

Sumber BHOnline

Leave a Reply

Your email address will not be published.