CUBAAN SELUDUP MINYAK GAGAL

 

Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kelantan berjaya menggagalkan cubaan menyeludup minyak petrol bersubsidi ke negara jiran dengan penahanan tiga buah kenderaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Rantau Panjang, Isnin lalu.

Dalam serbuan kira-kira pukul 9.30 pagi itu, PPDNKK turut menahan tiga warga Thailand yang berusia sekitar 40-an.

Pengarah PPDNKK negeri, Datuk Ab. Ghani Haron berkata, rampasan bahan api tersebut membabitkan nilai RM9,414 termasuk tiga buah kenderaan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati petrol itu dibeli dengan harga subsidi dari stesen minyak di sekitar kawasan sempadan Rantau Panjang.

“Dalam operasi itu, kita berjaya menahan tiga buah kenderaan iaitu dua buah kereta Proton Saga dan sebuah Proton Wira secara serentak. Ketiga-tiga buah kenderaan ini sarat dengan muatan minyak.

“Berdasarkan siasatan, modus operandi yang dijalankan adalah mengutip minyak antara stesen ke stesen,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu pada Khamis.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.