DASAR TAHFIZ NEGARA DIPERSEMBAH KEPADA MAJLIS RAJA-RAJA

 

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dasuki memaklumkan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) sudah dipersembahkan untuk pertimbangan Majlis Raja-Raja yang bermesyuarat pada 11 dan 12 Oktober lalu

Menurutnya, Raja-Raja Melayu sudah ambil maklum berhubung DPTN yang mana terdapat beberapa resolusi dicapai dalam mesyuarat tertinggi ahli jawatankuasa khas (HLC) yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

“Untuk pengetahuan YB, pada 11 dan 12 Oktober lalu Dasar Tahfiz Negara sudah dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja. Raja-Raja pada persidangan kali ke-247 telah pun mengambil maklum berkenaan dengan DPTN,” kata beliau semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Pas Bukit Gantang, Idris Ahmad di Dewan Rakyat pada Selasa.

“Selain itu, DPTN juga diharapkan dapat menyelaras kurikulum terutamanya aspek kualiti tahfiz ini bukan sahaja menjaga tahap prestasi dan keupayaan guru-guru sahaja tapi dalam konteks kurikulum supaya tak terpisah daripada arus perdana dalam kerangka dasar negara ini untuk melahirkan huffaz kita yang mempunyai keupayaan pelbagai disiplin ilmu dan kemahiran ini,” terang beliau.

Asraf juga memberitahu, kerajaan sedang merangka empat model kurikulum bagi menambah baik sistem pendidikan tahfiz di negara ini dan masih terdapat kekangan untuk melaksanakan DFTN di sekolah tahfiz jika tidak berdaftar dengan Kementerian Pendidikan menerusi program Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Oleh itu kerajaan melalui pelaksanaan DPTN sedang merangka empat model kurikulum yang boleh digunapakai oleh institusi tahfiz bagi menjamin masa depan dan hala tuju pelajar-pelajarnya,” katanya.

“Semua institusi pendidikan agama termasuk sekolah tahfiz yang ditubuhkan oleh pelbagai pihak adalah perlu berdaftar dan tertakluk kepada enakmen kawalan sekolah-sekolah agama atau peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa di negeri berkenaan.

“Ini adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan bahawa hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa pihak berkuasa agama negeri.

“Oleh itu aspek akademik dan sistem pembelajaran dan pengurusan sekolah berkenaan adalah berada di bawah kawalan pihak berkuasa agama negeri berkenaan,” jelasnya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.