DATANG AWAL PAGI, TAPI MASIH BELUM MENGUNDI

Gambar Sinar Harian

 

Segelintir pengundi bagi Parlimen Wangsa Maju yang mengundi di Sekolah Kebangsaan Danau Kota mula naik berang ekoran menunggu terlalu lama.

Rata-rata pengundi yang ditemui memaklumkan, mereka sudah beratur seawal jam 7.30 pagi, namun sehingga jam 12.30 tengah hari, masih belum dapat mengundi.

Menurut salah seorang pengundi, Abdul Nurid Abdul Razak, 64, dia sudah beratur sejak jam 8.30 pagi dan masih belum dapat memasuki bilik mengundi sehingga 1 petang tadi, dia masih lagi beratur bersama beberapa teman lain.

“Ada ketika kami hanya berganjak ke hadapan selepas sejam. Sudahlah hari makin panas dan tidak ada khemah yang disediakan.

“Saya berada dalam saluran dua dan kami terdiri daripada warga emas. Jadi bayangkan kami perlu menunggu dalam cuaca panas.

“Memang rasa nak balik dan tidak mahu mengundi pun ada. Tapi saya akan cuba jalankan tanggungjawab saya sebaik mungkin,” katanya yang juga seorang pesara bank.

Tambah Abdul Nurid, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) perlu menambah baik lagi sistem pilihan raya di negara ini.

“Kita sudah memasuki Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), jadi sepatutnya sistem kita perlu lebih baik lagi.

“Saya harap sistem kita akan ditambah baik lagi pada masa akan datang. Lebih-lebih lagi saluran yang melibatkan warga emas,” ujarnya.

Parlimen Wangsa Maju menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Yew Teong Look (Barisan Nasional), Datin Paduka Dr Tan Yee Kew (PKR) dan Razali Tumirin (PAS).

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.