DENDAM PUNCA KENDERAAN JPJ DIBAKAR

 

Susulan lima kenderaan termasuk tiga milik Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang musnah dalam satu kebakaran awal pagi tadi di parkir Stesen Penguatkuasaan JPJ Timbang Lori di Kuala Kangsar dipercayai bermotifkan dendam.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner, Ahmad Termizi Abd Haq, berkata siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham membabitkan beberapa individu yang dikenakan tindakan oleh anggota JPJ sebelum kejadian itu.

Katanya, perselisihan faham itu menjadi petunjuk utama siasatan selepas penelitian di lokasi kejadian menemui pagar yang dipotong dipercayai dilakukan lebih daripada seorang individu.

“Polis percaya kebakaran ini bukan kebakaran biasa dan ia dipercayai angkara khianat selepas kami menemui kesan pagar dipotong di bahagian tepi kawasan pejabat.

“Polis mengklasifikasikan kes mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api dan perselisihan faham sebelum ini menjadi petunjuk utama siasatan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, di sini, pada Selasa.

Ahmad Termizi berkata, kawasan pejabat JPJ itu dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dan rakaman CCTV akan diambil polis untuk siasatan lanjut.

Katanya, terdapat seorang pengawal berada di balai pengawal yang terletak di pintu pagar utama jabatan itu ketika kejadian manakala lokasi berlaku kejadian adalah di bahagian tepi sebelah kiri.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon, berkata pihaknya turut meminta bantuan Unit Pengesan (K9) Bomba dari Klang, Selangor dan setakat ini siasatan di tempat kejadian belum menemui sebarang bahan bukti.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi tadi, tiga kenderaan JPJ membabitkan dua jenis Toyota Fortuner dan satu Ford Ranger hangus terbakar 90 peratus manakala dua kenderaan awam jenis Volvo terbakar 70 peratus.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.