DEWAN NEGARA LULUS RUU PERBEKALAN TAMBAHAN

 

Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2016) 2017 bagi memohon perbelanjaan tambahan sebanyak RM3.08 bilion untuk perkhidmatan diluluskan Dewan Negara tanpa bantahan.

RUU yang dibentangkan malam semalam oleh Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz diluluskan tanpa dibahas dan pindaan pada Selasa.

Yang Dipertua Dewan Negara, Datuk S A Vigneswaran meluluskan usul itu selepas lebih suara daripada Ahli Dewan Negara menyokong.

Pada 27 Mac lepas, RUU itu diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat selepas dibahas di peringkat jawatankuasa.

Sebahagian besar perbelanjaan itu diperuntukkan kepada Kumpulan Wang Terkanun iaitu sebanyak RM2,248,437,560, Kementerian Pendidikan (RM297,960,000), Kementerian Pengangkutan (RM215,709,466), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (RM128,000,000), Kementerian Kesihatan (RM104,400,000) dan Kementerian Luar (RM24,126,000).

RUU itu turut membabitkan perbelanjaan tambahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan perbelanjaan sebanyak RM62,780,000.

Dewan Negara juga meluluskan usul menjunjung kasih ke atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V semasa merasmikan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 pada 6 Mac lepas.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.