DISEKAT BERCERAMAH, USTAZ KAZIM ‘LELONG’ PUSAT TAHFIZ

 

Ekoran disekat daripada mengadakan ceramah agama, pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias dikatakan bakal menutup pusat Tahfiz Darul Barakah miliknya.

Melalui satu posting di laman sosial Facebooknya, Kazim meluahkan rasa sedih kerana terpaksa ‘berpisah’ dengan pusat pendidikan Islam yang dibinanya itu hasil keringat dan penat lelahnya selama ini.

Malah pihaknya telah mengiklankan penjualan Kompleks Darul Barakah yang terletak di Manjoi, Perak itu dengan harga RM5,000,000.

“Bangunan Tahfiz Darul Barakah menempatkan ratusan pelajar. Saya membinanya dengan nilai keselesaan, cantik dan sejuk mata memandang.

“Sangat tinggi nilai halus kepada setiap pengunjungnya dan di sinilah tempat awal rakaman rancangan Kalau Dah Jodoh.

“Namun saya manusia biasa, berseorangan ke hulu ke hilir mencari sesuatu yang boleh menampung. Penat, uzur apatah lagi semakin sukar bergerak menjadikan semuanya semakin terbatas.

“Memang tidak sanggup berpisah dengan sekolah ini tetapi kalau berterusan begini maka perpisahan dan penutupan adalah jalan terbaik,” tulis Kazim di laman Facebooknya.

Sementara itu, dalam posting terbarunya pada Selasa, Kazim mendakwa terdapat usaha untuk menyekat dirinya daripada berceramah, menyebabkan pembiayaan sekolah tersebut terganggu.

“Pembiayaan sekolah ini adalah dari hasil kuliah dan ceramah saya setiap hari. Kalau ada usaha menyekat ceramah bagaimana saya ingin meneruskan sekolah yang memerlukan dana yang besar.

“Setiap hari memikir dan susah hati nasib pelajar-pelajar daripada anak yatim, warga emas sehinggalah mualaf yang menetap dan belajar di sini.

“Kalau saya tak mampu lagi saya minta maaf banyak-banyak,” tulisnya.

 

Wartawan Watan-Online

Leave a Reply

Your email address will not be published.